Alifah Amelya

Memandangkan kita masih di bulan Syawal, jadi mood raya tu masih ada lagi walaupun tak semeriah raya pertama. Makanya aku nak bercerita sedikit pasal rumah terbuka.


Rumah terbuka dah jadi sebati dalam budaya menyambut perayaan di negara kita ni, tak kiralah Aidilfitri, Gong Xi Fa Cai mahupun Deepavali. Sanak saudara dan sahabat handai mengambil kesempatan ini untuk berjumpa dan beramah mesra sambil menjamu selera. *makan free, sape tak nak kan*


Minggu lepas, aku sekeluarga mengadakan rumah terbuka sempana Aidilfitri. Meriah macam kenduri kahwin. Nak dijadikan cerita, macam-macam ragam manusia aku jumpa tatkala menjadi tuan rumah; ragam yang baik mahupun yang ‘huduh’. Kita ni bila pergi ke jemputan rumah terbuka, kalau boleh jagalah tatatertib dan sopan santun. Budi bahasa kan budaya kita. Jadi, dari ilmu yang serba sedikit ni, aku nak berkongsi dengan semua etika ketika mengunjungi rumah terbuka. ETIKA, bukan UNDANG-UNDANG; maknanya kalau tak ikut takkan masuk lokap, tapi kalau diikut lebih molek dipandang orang.


Bagi yang merokok, JANGAN BUANG PUNTUNG ROKOK DALAM KAWASAN RUMAH TERSEBUT!

Ni yang aku paling pantang. Nak mengamuk rasanya bila berkemas lepas tetamu terakhir pulang. Puntung rokok bersepah-sepah bawah khemah jamuan. Ingatkan rumah aku ni mapley ke?!! Sungguh tidak bertamadun.


Patuhi masa undangan.

Kalau tuan rumah menjemput datang ke rumah dari jam 12 tenghari hingga 5 petang, datanglah dalam masa yang telah ditetapkan. Mesti ada sebab mereka tetapkan masa tersebut kan? Ada sesetengah tuan rumah tak kisah walaupun kita datang lambat, mereka tetap akan melayan kita dengan senyuman sebab besar pahalanya meraikan tetamu yang datang ke rumah kita. Tapi kalau memang tak dapat dielakkan, minta izin dengan tuan rumah, maklumkan yang kita akan datang lewat supaya tuan rumah boleh bersiap sedia dengan apa yang patut. Kita senang, tuan rumah pun senang.


Waktu melepak.

Bila dah lama tak berjumpa, mesti banyak yang hendak diborakkan, lagi-lagi bila dijamu dengan makanan percuma. Kebetulan pula kawan yang lama tidak berjumpa juga hadir ke rumah terbuka itu, maka berceritalah dari A sampai Z. Tak salah kalau nak berborak, boleh mengeratkan silaturahim sesame manusia; tapi berborak biarlah berpada-pada. Kalau jam dah menunjukkan jam 10 malam, lebih elok sambung cerita tersebut di lokasi lain. Walaupun tuan rumah tak kisah kita nak melepak sampai jam 12 malam, tapi fikir-fikirkanlah kalau kita melepak sampai jam 12, bila pula tuan rumah akan selesai berkemas? 1 pagi? 2 pagi? Esoknya tuan rumah tak perlu bekerjakah? Lu fikirlah sendiri.


Kalau nak membebel lagi memang banyak, contohnya macam etika berpakaian, etika ketika berborak, etika makan dan sebagainya, tapi cukuplah setakat di sini. Nanti panjang berjela lak entri ni. Kesimpulannya, bila pergi ke jemputan rumah terbuka, jangan menyusahkan tuan rumah, jangan menyusahkan tetamu lain yang hadir. Habis cerita.


Selamat Hari Raya~!

Labels: | edit post
2 Responses
  1. r.k Says:

    lu taknak repeat buat rumah terbuka ke ?


  2. hahaha~ nak repeat kena tunggu thn dpn la beb